Sesungguhnya, baginda Rasulullah SAW telah berjaya membawa transformasi murni kepada umat sejagat. Terbukti apabila kegelapan jahiliah telah sirna bila berhadapan dengan sinar risalah nubuwah. Transformasi insani ini lahir daripada kasih sayang dan keperihatinan baginda terhadap kesejahteraan umat sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran, surah at-Taubah ayat ke-128 yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”